Thursday, October 14, 2010

Si ninong-ninong Sayang


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Tuan hamba sidang pembaca yang dikasihi sekalian,

Hamba bekerja bersama katak-katak, belut dan ikan-ikan. Ewww, tuan hamba kata. Takpe, hamba terima.

Setiap kali melangkah ke bangunan sekolah, penyambut tetamu yang paling menawan dalam bangunan itu ialah katak-katak dalam akuarium kaca yang pemalu. Berselindung di balik hijaunya dedaunan keladi yang menutupi hampir separuh ruang akuarium itu.

Melangkah masuk ke pintu sebelah, melangkah ke tingkat 2, terdapat penyambut tetamu yang berbeza. Tapi tak kurang menawannya. Kali ini badannya lebih ramping. Kuku cengkam. Tapi kulitnya sama licin dengan penyambut tetamu di tingkat dasar. Malah kadar kelembapan nya sama. Mungkin memakai pelembab sama jenama. Nama glam penyambut tetamu ini ialah - cicak.

Memanjat tangga ke tingkat 3. Mungkin sekadar bersenam dan ketidak ada kerjaan yang pasti. Mungkin kerana tertekan. Mungkin kerana sudah boring memanjat bukit mengetuk pintu rumah sendiri. Di sebelah lif terletak sebuah kerangka unik. Mencetus sebuah sejarah yang telah lama ditinggalkan. Kerangka yang mungkin kurang ramping. Nah, siapa kata tidak ramping kurang menawan? Terletak di situ, tulang belulang, sebuah rahang pemilik badan yang telah lama berkubur magingnya. Di situ, sebuah rahang paus di-pamerkan.

Nah, kerana itu pekerjaan hamba. Bertemu dengan pelbagai haiwan. Pelbagai jenis dan rupa. Hamba tidak perlu bergambar dengan anjing untuk menunjukkan sifat penyayang. Hamba tidak perlu menyentuh bulunya untuk menunjuk sifat kasihan. Hamba tidak perlu memelihara-nya untuk menjadi ahli 'Kelab Pencinta Alam'.

Anjing tidak salah. Melihat anjing tidak dosa. Memberi makan dan minum anjing juga- mengundang pahala.

Tapi makan daging anjing itu haram. Owh kedek-kedek kakinya. Owh lembut halus mulus putih bulunya. Owh ninong-ninong bentuk telinganya. Comel, kan? Owh.....




Meng-usap belai anjing tanpa tujuan, sekadar bisikan syaitan. Bela kucing-boleh makan tikus. Bela tikus-untuk menjadi makanan kucing. Bela ayam-boleh habiskan sisa nasi. Bela ular- untuk makan ayam. Bela itik-boleh makan telur masin dengan kos rendah. Bela kura2-supaya senang ingat pantun kura-kura dalam perahu. Bela monyet-boleh jadi tukang petik kelapa. Bela gecko-boleh ajar anak prinsip power rangers: bertukar warna bila perlu! Bela ikan-untuk makan cicak. Bela arnab-tukang habiskan kangkung dalam longkang, jadi longkang tak tersumbat lagi. Bela burung-supaya ada alasan beli dedak burung di kedai cik Kiah. Bela kambing-boleh tolong makan tanaman jiran. Opss. Bela anjing?


Bela anjing- untuk tujuan keselamatan. Atas dasar per-ladangan. Islam tak mengharamkan tujuan membela-nya untuk tujuan itu. Akan tetapi, kebanyakan bakal bapa penyayang dan bakal ibu penyayang di dunia ini lebih rela membelanya untuk menjadi teman setia, sebagai hobi. Atau lebih gah lagi, kalo boleh membelanya, kemudian bergambar dengannya, dan memasukkan gambar ke dalam fesbuk, supaya orang melihat boleh berkata, "wow, macam style mat saleh plak aku tengok si fulan bin/ti si fulan ini".


Menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan sudah menjadi trend bagi semua orang daripada pelbagai agama dan bangsa pada ketika ini. Malah sudah biasa di kondo-kondo yang sudah punya pak Guard 24 jam. Kadang2 pak Guard pula yang terpaksa kerja overtime menjaga keselamatan anjing belaan penghuni2 setempat. Bermula dengan artis-artis yang menjadi idola remaja, dan kemudian dengan budaya membela anjingnya pun di-idolakan juga. Kesian benar jika ada remaja yang terpengaruh.



Dalam banyak2 jenis haiwan peliharaan di dunia ini, kenapa anjing jugak jadi pilihan pet orang Islam? Kucing kurap di tepi jalan berlambak tidak pula dikutip. Bayi2 dilahirkan cukup sifat yang dibuang merata tempat tidak pula dipertahankan. Nak juga bela anjing ye? Isk3, janganla begitu tuan hamba...Hamba bukan cakap kat tuan hamba, hamba cakap dekat encik/cik anony.Kalo ye pun terpaksa, sementara menantikan anjing tersebut bertemu tuan yang sesuai baginya, tidak perlulah diwar-warkan, dihaplodkan gambar ke serata dunia, dengan photo caption tak menahan: "see, manja i tak gigit pun?". Nanti orang akan keliru, kan tak bagus begitu. Ye dak? (Hamba berangan je tu, setakat ni tak jumpa lagi seperti itu, Alhamdulillah)

Kata alQardhawi, hukum membela anjing sebagai pet (hobi) adalah haram, yakni diharamkan oleh RasuluLlah saw. Dalilnya: Dari Sufyan bin Abu Zuhair, bahawa Nabi saw bersabda,

"Barangsiapa mmelihara anjing bukan utk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya bekrurangan satu qirath."

[Bukhari-Muslim dan semua ahli hadith yg lain] Inilah juga pendapat majoriti madzhab, antaranya Syafi'iy, Hambali, Maliki dan Zahiri ( alMajmuu', IX/234)


Tapi bukanlah haramnye si telinga ninong-ninong sampai kene sepak terajang apatah lagi dibunuh! Haip! Islam melatih umatnya jadi penyayang. Say ala bucuk2 selalu pada telinga si ninong-ninong. Jangan gatal sengaja sentuh pulak. Mungkin kering tapi mane tahu peluh-peluh malu memunculkan diri secara senyap2, membuat tangan penyayang musti kene samak! Untuk maklumat lanjut sila lawati http://fatwaulama.blogspot.com/2006_09_01_archive.html Jzkk :) Senyum sokmo!

Tuesday, October 5, 2010

Buang Sayang,Tulis Mahu


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Tuan hamba sidang pembaca yang dikasihi sekalian,

Ting! Satu friend request dari facebook masuk ke inbox. Inbox dibuka. Dalam hati tertanya-tanya siapa. Facebook berhabuk sudah dalam sarangnya sendiri. Sengaja malas nak di sign-in kan. Takut nanti lame pulak bertapa di situ. Buang masa.

Sebuah nama "asing- tak- asing" keluar. Hmm, otak dan hati bekerjasama berfikir. Nak approve-khuatir salah orang. Nak tak approve, takot rupanya kawan lama, terase hati pulak.

Lantas, laman facebook dibuka juga akhirnya. Sebuah emel panjang tertaip, lengkap dengan passwordnya. Jeng! Maseh kurang kenal siapa. Info ditatap. Gambar dipandang sekilas. Otak bekerja keras mencari jawapan siapa.. Oh, akhi ini. Rakan seperjuangan satu masa dulu. Baik. Confirm.

Gambarnya 'bejurus', kata ore kelate. Kopiah terletak. Gambar2 menjadi jundi terpampang di segenap penjuru. Aktiviti sana, aktiviti situ. Kagum. Tumpang bangga. Album2nya bertajuk nama program yang disertai nya. Mantap.


Tetikus menggatal meng-klik dinding fesbuk- nya. Sekadar ingin tahu ape perkhabaran. Uish mantap. Status-statusnya berkejaran antara satu sama lain. Sejam sekali. 2 jam sekali. Sehari sekali. Tapi...sedikit pelik di situ!


Ada antara statusnya yang menggarap kesedaran. Berbaur nasehat, amar ma'ruf nahi munkar. Tetapi, ada juga link2 ke lagu2 jiwang permainan kalbu. Maseh nasyid Alhamdulillah. Barangkali sedang berehat dari tugasan. Kemudian status2 berbaur rindu, erk astaghfirullah! Tengok pula komen2 di bawah statusnya itu.

Wah, bunga2 saje tukang komentar-nya. Oleh kerana sejak kecik hamba memang dipengaruhi oleh cerita detektif Conan, dan hasrat hamba untuk menjadi detektif telah ditentang keras oleh ayahnda hamba, maka hamba cuma menyalurkan cita2 itu secara senyap. Naluri ke-detektif-an hamba memang tinggi. Dan hamba terus meng-klik dan meng-klik lagi.

Setiap bunga2 itu hamba perhatikan. Profile nya. Gambarnya. Wall nya. Gambarnya sopan2, penutupan aurat sempurna. Sekilas pandang seperti ustazah gayanya. Pening. Hamba pening.

Seorang lelaki bergaya 'boleh dipercayai' mengutarakan status rindu pd manusia di dindingnya yang pada pandangan hamba adalah kurang patut. Di-komen secara sokongan dan berkias ibarat oleh seorang wanita yang gaya nya juga 'boleh dipercayai'.

Adakah status seperti itu tidak salah dikeluarkan? Adakah komen2 seperti itu tidak salah antara lelaki dan perempuan? Oh sungguh meng-kompius-kan. Bagi hamba yang cetek ilmu, hamba sedar bahawa itu bukan akhlak Islam yang sebenarnya. Bagaimana pula dengan yang sedang mencari ilmu? Yang maseh kurang faham?

Sudah barang sekali akh-akh dan ukhti-ukhti yang mereka letak sebagai idola selama ini akan menjadi contoh. Sudah barang sekali, walaupun tidak mengenal akh-akh dan ukhti-ukhti ini apa sahaja yang mereka lakukan adalah benar.

Oh sayang seribu kali sayang. Kita buka facebook untuk menyebarkan kebaikan. Barangkali ada antara kita yang sudah berjaya menjadi ikon fesyen Islam. Tapi barangkali juga kita menjadi fitnah besar dalam Islam, kononnya menjadi duta pada Islam, tapi menyalahgunakan terma akhlak Islam. Hamba tak kata pada tuan hamba, jangan kecik hati ye. Tapi ini adalah peringatan buat diri hamba sendiri.

Janganlah pulak selepas ini kopiah tertanggal, kerana ternyata menulis status2 berbaur rindu lebih masyuk untuk diberhentikan. Janganlah pula ada yang menukar tudung labuh nya ke fesyen lebih ranggi, kerana terase sukar untuk berhenti mengomen status2 si buah hati. Sebaliknya marilah kita selarikan status2 kita, selari-kan gaya komentar kita, agar sama putih dengan warna kopiah, sama saiz pula dengan labuhnya tudung, insyaALLAH!

Bukan kah ALLAH telah berfirman: Dan janganlah kamu merendahkan (melunak dan memanja-manjakan) percakapan, yang menyebabkan mereka yang sakit hatinya terdetik untuk menggodamu.


"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana." (Al Baqarah: 208-209)

Monday, September 27, 2010

Petua Kenang-Kenangan



Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Tuan hamba sidang pembaca yang dikasihi sekalian,



Pernah tak tuan hamba dengar petua-petua orang lama? Rasanya mungkin tuan hamba pernah dengar, tapi mungkin sudah terlupa. Atau mungkin juga tuan hamba tidak tahu langsung kewujudan petua-petua tersebut. Barangkali kerana telah hanyut dalam arus modenisasi.


Hamba dilahirkan dan dibesarkan di kampung. Sebuah kampung kecil di pinggir daerah Kota Bharu. Depan rumah hamba, selepas jalan raya bersaiz sehala tetapi berfungsi 2 hala, adalah dusun buah-buahan. Dan penyudah hujung dusun itu pula, mengalir tenang unjuran Sungai Kelantan yang luas dan kaya dengan buaya dan 'ghi-ye' berjemur - yang kami selalu salah anggap sebagai biawak. Tapi mereka baik, tidak pernah mengganggu kami. Sementelah kami juga tidak ghairah mencari pasal dengan mereka, alhamdulillah.

Betul-betul belakang rumah hamba, adalah tali air rekaan KADA, untuk aktiviti sawah padi yang letaknya betul2 di sebelah tali air itu. Waktu kecil2, tali air itulah kolam mandi kami. Waktu sekolah rendah, bila balik berjalan kaki ke rumah dari sekolah, tali air itulah tempat kami melepas lelah, hingga terlambat ke rumah tok guru mengaji.

Berkubang di situ, berendam di situ, bergelumang lumpur juga di situ. Betul2 belakang rumah hamba, ayahnda hamba sengaja membina pelantar kecik yang mengunjur sedikit ke tepi sungai. Kadang-kadang bila bekalan air kerajaan buat hal, maka di situ kami adik beradik berendam, di-iringi buih2 sabun basuh bila bonda membasuh kain di pelantaran yang sama. Kerana hamba tidak pandai berenang , maka di situ terdapat tali panjang untuk mengikat pelampung hamba :).

Bila gigi-gigi atas dan gigi-gigi bawah saling hentam menghentam tanda sejuk, maka abang hamba akan menarik tali pelampung hamba ke daratan, tanda mau pulang. Yang bestnya, hamba selalu dapat ke tempat yang paling dalam, setinggi dada ayahnda hamba, kerana hamba berpelampung, seronok waktu itu, sangat seronok! MasyaALLAH!

Bila masak padi, kuning rase pandangan mata. Bila sudah dituai, kelihatan belakang rumah seperti padang jarak padang tekukur, nun jauh merentas padang. Bila hijau, rase mau baring di hamparannya sambil melihat langit luas yang membiru. Dihiasi burung-burung 'cap rumah' yang pulang ke sarang berkelompok-kelompok, bersusun-susun. SubhanALLAH!

Di kiri kanan rumah hamba dulu, semua pokok tropika tumbuh subur. Ada betik, pisang, mangga, salak, cermai, rambutan, duku dan pokok wajib di kampung, iaitu kelapa.






Berbalik soal petua, sesuai suasana begitu lah resminya. Sengaja hamba biar tuan hamba bayangkan dulu kawasan kampung hamba, kerana dari itu, tuan hamba akan faham kenapa.





Kami dikelilingi keindahan alam semulajadi, yang kekadang bahaya. Bila diberi amaran panjang lebar dan alasan kenapa tak boleh itu dan ini, kami selalu nganga, sudahnya kami adik beradik terus menerus buat kerja bahaya. Memanjat pokok, terjun sungai, bebas mengutip durian jatuh di dusun dan sebagainya. Tapi bila diberi petua, yang kadang2 tidak masuk di-akal, kami patuh pula. Tapi akhirnya ayahnda selalu menjelaskan hikmah di balik petua demi petua.

Resmi orang kampung juga sangat halus pengaturan budi dan bahasa. Penuh tertib dan ber-metafora. Bukan hamba memuji diri, barangkali juga bukan hamba. Akan tetapi hamba berbicara untuk orang-orang kampung lainnya.

Di kampung, penduduk major adalah orang-orang tua. Ketika kecik2, kami adik beradik dipaksa mengingat nama setiap makcik dan pakcik di kampung itu. Perjalanan ke kedai runcit terase lama, kerana jika berselisih harus menegur dan bertukar berita. Kagumnya, makcik pakcik, atuk nenek di kampung jarang sekali ada yang nyanyuk. Nama kami yang kecik2 juga dihafal mereka. Bukan setakat nama, tapi anak siapa, cucu siapa, itu juga ter-rakam kemas di kepala mereka.

Sehingga sekarang, jika menelefon ke Malaysia, sudah menjadi tabiat hamba untuk berkirim salam pada jiran-jiran di kampung, dengan menyebut nama makcik demi makcik. Rindu keluarga, rindu semua..

Sudah menjadi adab di kampung juga, jika ade jiran datang bertamu, kadang2 sekadar bertukar gossip atau menghantar duit kutu, - biar nasi sejemput pun akan di'offer' juga. Selagi tetamu tak hilang haus, tak hilang lapar, biskut kering di dasar tin pun di cari juga. Yang sikit sama di-cecah, orang kampung kata..

Walhal untuk menyenduk nasi juga ada caranya. Pantang orang tua-tua menyenduk nasik di permukaan dan bahagian atas saje dalam periuk nasi. Meninggalkan nasi di bahagian tengah ke bawah periuk untuk orang lain. Kata bonda, sape yang makan nasi seperti itu, perangai-nya degil dan tak mendengar kata, mementingkan diri. Bila difikir-fikir semula, betul juga apa yang bonda kata.


Nasi yang di tengah periuk dan ke bawah kan kadang2 berkerak. Norma-nya tidak selembut dan secantik nasi di bahagian atas. Kerana kasih sayang pada ahli keluarga dan tetamu, maka elakkan lah menyenduk nasi di permukaan saja untuk diri sendiri, atau sebaiknya terus menekan senduk ke dasar setiap kali menyenduk nasi. Hasilnya semua mendapat nasi sama rata. Adil dan saksama. Sungguh ber-metafora, kan?

Barangkali tuan hamba rase hamba cerewet. Mungkin betul, hamba memang cerewet. Kolot. Mungkin juga hamba kolot, kenapa tidak? Kerana petua-petua itu mengajar kita hidup bertatasusila. Mementingkan saudara, menghormati tetamu. Biar hanya cara menyenduk nasi, kalo tidak bertentangan dengan syariat, kenapa tidak?


Tapi, iya-lah. Lain orang lain cara. Itu cara hamba. Cara orang kampung. Tuan hamba pula, bagaimana?

Thursday, September 16, 2010

Tanda Tanda Penuaan

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Tuan hamba sidang pembaca yang dikasihi sekalian,


Seperti tajuk, begitulah isinya. Hamba kian sedar akan beberapa dan mungkin lebih dari beberapa tanda penuaan telah menyerang hamba.

Sekian lama, hamba memang obses dengan warna coklat. Boleh dikatakan, pakaian harian hamba ialah uniform coklat. Berkemungkinan besar tuan hamba yang pernah melihat hamba akan mengatakan bahawa hamba sering memakai baju yang sama, akan tetapi tuan hamba, telahan itu tidak tepat!
Sumber: http://nabil-n-business.blogspot.com

Sempena musim raye, hamba kian sedar, selama ini jika ibunda hamba yang memilih warna baju raye, biasanya ibunda hamba akan melarikan warna coklat dan hitam dari baju raya hamba. Warna pilihan ibunda hamba untuk anakanda nya ini biasanya merah, pink, hijau pucuk pisang dan pelbagai lagi warna-warni pelangi yang bisa menyilaukan. Tidak terkecuali koleksi baju-baju warna pelangi yang hamba cuma pakai di hadapan ibunda hamba sahaja. Hehe

Beberapa tahun yang lalu, biasanya hamba akan pulang ke kampung untuk beraya seminggu lebih awal. Hamba akan pulang dengan semangat berkobar2. Akan tetapi sengihan hamba tidak akan mencecah telinga sebaik melihat warna pilihan ibunda hamba yang terpateri lengkap di baju raya hamba. Ibunda hamba kate, "kakngah ni macam orang tua...".

Dulu hamba terfikir jugak, kenapa la ibunda hamba suka cakap macam tu pada hamba. Sebab hamba sensitip kah? Atau mungkin sebab hamba suka merajuk-kah?

Bila matahari pudar warna, dan bila senja menjelang tiba, barulah hamba faham, koleksi pemikiran hamba itu menjurus kepada 1 perkara, iaitu tanda-tanda penuaan!

Tanda-tanda penuaan itu pula akan menjurus kepada 1 perkara utama! MATI!!!

Oleh kerana itu, jika hamba pergi dulu, maka-nya hamba wasiatkan kepada tuan hamba sekalian, kemaafan yang tidak terhingga dari hujung rambut hingga hujung kaki..Juga halalkan lah makan minum dan sekiranya ada hutang piutang hamba yang masih belum langsai, sila hubungi keluarga hamba ye!

“Tiap-tiap umat mempunyai ajal, apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkan barang sesaat pun dan tidak pula dapat mendahuluinya.” (Yunus:49)


Ya ALLAH, tanda2 penuaan ini makin muncul bila hamba sering terfikir baju warna apa yang akan dipakai untuk pergi beraya. Banyak bona jemputan hari demi hari, dan minggu demi minggu. Tak tertanggung dek almari baju yang kian luas rongganya. Di balik kelazatan rendang dan kuah kari, moga kita semua sentiasa mengingati mati.

“Perbanyakkanlah mengingati perkara yang membinasakan kelazatan (iaitulah MAUT)”
( Hadith riwayat al-Tirmidhi)





Wednesday, September 8, 2010

Yang-Yang Yok Ketipak Ketipung!

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Tuan hamba sidang pembaca yang dikasihi sekalian,



Setelah bergegar dek ammarah bumi Christchurch beberapa hari yang lalu, banyak benda yang belum sempat dilakar di sini.

Hari ini, mungkin hari terakhir ramadhan. Apa yang sudah tuan hamba dan hamba perolehi sepanjang Ramadhan ini?

Bulan mulia ini, adalah sekolah bagi kita. Sekolah yang mendidik kita. Menundukkan nafsu kita. Mengawal keranjangnya sepasang mata yang menjalar menatap dahi-dahi licin. Mengawal gejolak darah muda yang membakar sebuah jantung yang masih remaja. Melentur lidah untuk berkata yang baik. Memujuk perut untuk makan se-adanya. Merayu akal untuk merenung ke-daifan saudara-saudara seagama dan manusia yang kurang upaya.

Bulan mulia ini, adalah bulan zikir-zikir berterbangan menghiasi sepanjang jalan kita. Hasil dari lidah yang dibajai keinsafan. Bertasbih, bertahmid memuji ALLAH. Memohon ampun dariNya. Berkumat kamit mengucapkannya, sehingga orang berselisih akan menoleh. Bukan sekali, tapi ber- kali2. Pandangnya pelik. Pandangnya aneh. Apa dibikin orang ini? Apa dikata orang ini? Kumat-kamit itu, kitakah? Basah bibir kita, kerana zikirkah? Atau lembab basah bibir kita kerana lip balm bermentol terbaru yang kita cuba?

Bulan mulia ini, adalah bulan pengampunan. Bulan mendamba redha Illahi.

Bulan mulia ini, adanya malam yang sangat istimewa. Kita kata, "tak apelah, kalau tak dapat lailatul qadr ramadhan kali ni, ramadhan tahun depan lah kita cuba..". Hidup ke kita ramadhan yang akan datang?! Tak dibaham tanah kah kita ketika itu? Di saat orang lain mengharungi saat bahagia, memohon pada ALLAH secebis tempat di syurga, ketika itu, mampukah kita menahan amarah Munkar dan Nakir?

Nah! Apa yang telah kita lakukan? Mampukah kita bergraduasi? Luluskah kita? Cemerlang kah kita? Beroleh anugerah kah kita?






Jika sekadar Anugerah di pentas universiti, itu bukan apa2. Itu cuma ujian ALLAH. Itu cuma penilaian otak, yang satu hari akan hancur dimamah bumi!!!

Kalaulah hidup ini untuk menjadi doktor PhD pelbagai bidang! Kalaulah hidup ini untuk menikmati mewahnya dunia. Kalaulah hidup ini untuk menjadi manusia terkemuka. Sekolah seribu tahun pun belum tentu cukup.

PhD ~ researchnya harus makin banyak! Kompentensi semakin ghairah! Wang akan hilang. Lagi harus senantiasa dicari! Nama akan kabur, di sapu perlahan dengan nama2 baru yang makin naik!

Tapi kalau hidup untuk menjadi manusia bertakwa. Sekolah sebulan di bulan Ramadhan ini sahaja, kalau kene cara-nya, dan istiqamah ke akhirnya, insyaALLAH, bergraduasi-lah kita.




Tapi, kita -kah yang layak memakai jubah konvo itu? Kita-kah yang layak beratur menunggu ALLAH memberikan skrol keredhaan-Nya? Kita-kah yang layak bergambar bersama insan2 bertakwa itu?

Ataukah kita sekadar manusia yang akan berbungkus langsir2 baru berwarna kemilau. Sekadar manusia yang syok sendiri memasang pelita keliling rumah. Sekadar manusia yang merase hebat dengan penghasilan dan rekacipta kuih muih terbaru? Sekadar manusia yang hanyut di malam raya, bergelak ketawa? Sekadar manusia yang tenggelam dengan kad-kad ucapan dan lagu-lagu raya?

Bila tiba hari raya, kita raya sakan gegak gempita. Raya wajib sempurna. Wajib tiada cacat cela. Baju merah satu rumah, wajib merah walau cuma tang bunga. Kuih bermacam jenis, ketupat pelbagai rupa. Rendang lemang wajib ada, kerana itu petanda raya. Lalu, puasa semalam bagaimana? Sama sempurna?

Salam aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin :)




Taqabbalallahu minna wa minkum

(May ALLAH accept from you and us)


Friday, August 27, 2010

Tolong jangan pergi..pls

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Tuan hamba sidang pembaca yang dikasihi sekalian,


Jeng jeng jeng! Hari ini sudah hari ke-17 Ramadhan 1431 H di bumi Dunedin. Di bumi Malaysia sudah hari ke-18 kan?


Pagi tadi hamba singkap langsir putih yang menabir tingkap dapur.. Hamba lihat rintik2 hujan yang hampir tidak kelihatan. Barangkali jalan basah. Tapi suasana maseh hitam, gelap dan pekat. Hamba kurang jelas...

Hamba sedut nafas dalam2. Lampu neon yang menghiasi jalan berbalam-balam saje warnanya. Walaupun dingin mencengkam, sengaja hamba buka luas-luas tingkap itu. Untuk mengeluarkan asap gorengan di waktu dinihari.

Hidung hamba menyentuh bau yang indah. Bau pagi. Bau malam ke pagi. Bau sahur sebelum subuh. Menyengit2 di hidung hamba. Sebuah bau yang menenangkan. Mengasyikkan.

Hamba sedut lagi dengan dalam. Semakin dalam. Sambil menarik nafas, hamba pejam mata. Pejam kerana sejuk. Pejam kerana khusyuk. Tiba-tiba ade sesuatu yang menjolok hati hamba. Hamba rase tersentuh. Hamba rase khuatir. Hamba rase berdebar.

Hamba merasekan sesuatu. Pejaman mata yang kejap hamba lepas perlahan-lahan. Berhati-hati. Was-was. Debaran dalam dada semakin mencengkam. Denyut nadi semakin pantas. Dan jantung mula berbisik pada telinga dengan iramanya yang tersendiri...


Dan tiba-tiba!!!

Tuan hamba, di bulan Ramadhan ini syaitan dan iblis digari. Jadi cerita hamba ini tidak ada kene mengena langsung dengan unsur-unsur itu.


Hamba cuma merasekan sebuah rindu yang dalam pada dinihari Ramadhan ini, pada bumi Dunedin ini, pada waktu pagi nya yang damai. Andai bau itu boleh hamba abadikan..

Semakin dekat untuk meninggalkan pergi. Semakin jatuh cinta pula rasanya...

Mampukah untuk kembali pada Ramadhan kali ini, sepertimana mampukah akan kembali pada Dunedin setelah meninggalkannya nanti.

Dunedin ini dan akan datang. Pasti tak akan sama. Ramadhan kali ini dan akan datang, pasti jauh beza. Sempatkah nyawa ini untuk merasainya lagi?


Ramadhan, tolong jangan pergi, aku masih belum puas!


Rasulullah bersabda, “Allah SWT akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam terakhir seraya berfirman: Siapa yang berdoa padaKu, maka Aku akan menerima permintaannya. Siapa yang memohon ampun padaKu, maka akan Aku ampuni.. (HR. Bukhari dan Muslim)

Tuesday, August 17, 2010

Tali Pinggang kata, "JANGAN!"

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Tuan hamba sidang pembaca yang dikasihi sekalian,

Di saat orang2 di Malaysia berbuka dengan juadah 'ayam golek madu', kuih 'lompat tikam' dan pelbagai lagi menu yang mencairkan saliva, masyarakat Dunedin terchenta berbuka seadanya di Masjid Al-Huda.
Tuan hamba,

Bezanya kalo di Malaysia, jarang untuk kita meluangkan masa berbuka di masjid. Walaupun, ya lah kadang2 ada juadah berbuka free kan. Kita biasanya menapak ke masjid bila ada ura-ura bubur lambuk diedarkan. Bagi yang tak sibuk, kita ade-lah jugak join potong2 bawang untuk bubur lambuk.

Ada banyak sebab, kenape kita lebih selesa berbuka di rumah. Selain daripada senang nak melonggarkan tali pinggang kerana pengembungan secara mendadak, kita juga lebih selesa berbuka di rumah kerana ada banyak jenis lauk.

Di masjid Al-Huda, Dunedin ini contohnya, akan ade 1 jenis lauk, dan 1 jenis sayur, dan ofkoslah nasi, samada putih atau berwarna.


Akan tetapi, risiko nye berbuka di rumah, pun ada banyak. Satu, kita akan kurang malu untuk menambah atau makan banyak. Kecuali lah kalo pada waktu berbuka itu, ada tetamu istimewa. Bila dah tak malu, nasi pun tak malu untuk berlari-lari anak masuk pinggan dan melepasi tenggorok. Betul tak?


Itu risiko perut. Nafsu mata pun suka kalo berbuka di rumah. Kerana mata kiri dan mata kanan akan berlumba untuk pejam dulu. Kadang2 lepah maghrib tido dulu, dengan harapan nak ler bangun solat isyak nanti. Cita-cita tinggi. Baguslah. Plannya isya', terawih, tahajjud, taubat, istikharah dan witir. Tapi sebab takot membazir ayam golek beli di Bazar Ramadhan petang tadi, maka lajak lah pulak tidurnya. Dan2 bangun, 15 min lagi nak subuh. Berkejar sahur dulu, takut tak sempat sahur, ye dak? Lepas tu, solat wajib kemana, inikan pulak solat sunat, haishh. Bukan tuan hamba tu, ni hamba duk citer pasal orang kat Planet Marikh nun...


Risiko ke-3 ialah takot tertinggal amalan baca Quran. Quran ni tuan hamba, patut kita amalkan setiap hari. Tambah2 pula di bulan Ramadhan. Bagi abang2 dan kakak2 yang mencecah usia yang tersangat sibuk dengan anak2, mungkin sudah lama tidak menyentuh kitab Al-Quran. Kecualilah kalo anak umur 5-6 tahun, yang tu para2 ibu sentuhla jugak Iqra', untuk ajar anak-anak mengaji.


Jadi tuan hamba, yang hamba nak cerite ni begini, kalo kite ke masjid, atau surau, mase terawih kan pak Imam selalu baca juzuk by juzuk, syioknye... Habis je Ramadhan, pak Imam habiskan 30 juzuk dalam bacaan solat terawih, kita pun sama khatam. Sebabnya kita dengar pak Imam bace. Ye dak? Kadang bacaan kita tak betul, itu yang buat sesetengah orang malas nak baca Quran. Sebab tu-lah kita kene usaha, kalo merangkak baca Quran sendiri, kita maseh boleh dengar orang lain bace, kan? Orang lain dapat pahala, kita pun dapat jugak, insyaALLAH.


Tapi ye-la, hamba takde anak lagi pandailah hamba cakap. Ye-lah tuan hamba. Agak2 kalo hamba dah jadi ibu esok2, sempat ke hamba nak nulih belog ni? Sebab tu, tuan hamba kasi lah can hamba cakap skang ye!


Jadi tuan hamba, kalo tak dapat hari2, sikit2 hari pun jadilah. Jemputlah menapak berbuka ke masjid. Ataupun kalo tuan hamba kene masak untuk keluarga, tuan hamba bleh sedekah kuih sikit ke, duku sikit ke, untuk orang2 berbuka ataupun moreh? Takpun lepas buka boleh datang untuk terawih.


Bukan ape tuan hamba, kesian malaikat sebelah kanan tuan hamba tu. Malaikat orang lain sibuk buat kalkulus, kira pahala total yang terkumpul sepanjang Ramadhan, tapi malaikat tuan hamba, pening tengok tuan hamba main kira2 bunga api untuk projek malam raya... (Peringatan buat diri hamba sendiri terutamanya!!!)

"Barangsiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaranNya, maka akan diampunkan banginya segala dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari dan Muslim)

Sunday, August 15, 2010

Tulis Segan, biar Kosong Tak Mau

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Tuan hamba sidang pembaca yang dikasihi sekalian,



Untuk entri kali ini, berkali2 hamba tulis dan padam. Hamba beku dengan idea. Lagipun hamba puasa. Puasa ber-angan. Jadi hamba pun taknak lah mengarut-mengarut. Nanti pahala hamba kurang nak kene cover pahala tuan hamba lagi.


Tapi hamba tetap nak menulis entri baru jugak. Sebab hamba rase ade sahabat hamba yang sering membuka untuk melihat entri terbaru, (alamak ter-bajet, mintak maaf). Hamba teke je. Kepada tuan hamba yang berkenaan, hamba ucapkan jutaan terima kaseh dan setinggi-tinggi penghargaan. Jangan malu untuk terus mengikuti blog hamba.

Akhir kalam buat entri kali ini, selamat berpuasa semua. Terawih malam ni pegi tak? Alahai, pergila. Cuba try pegi skali tengok…best g terawih, rase Ramadhan sungguh bermakna. Oh ye, jgn lupa korek poket tuan hamba, ade 20 sen tak? Kalo ade, bwk sekali sumbat ke tabung masjid k, arini 20 sen, esok2 tambah la pulak ye.


~Wassalam~

Monday, July 26, 2010

Pungguk Rindukan Bulan

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Tuan hamba sidang pembaca yang dikasihi sekalian,

Apabila berjauhan, manusia cenderung untuk merindu. Bila tarikh untuk bertemu semakin hampir, hati manusia akan berdebar2 dan berdetap detup tanpa amaran. Bagaikan pungguk merindukan bulan mengambang. Cuma sekali sebulan melepas rindu.

Ade sebuah kisah. Tentang seorang isteri yang setia. Name-nye Esah. Duduknya nun di hujung kampung. Suaminya enjin-nia. Kerja di pelantar minyak di tengah laut. Pulangnya cuma sekali sekala.

Bila suami ber-skype memaklumkan untuk pulang lebih kurang 2 minggu lagi, Esah mula terkekek gembira tapi kalut super. Terfikir baru sudah mengumpat dengan Jenab semasa membeli ikan dengan pakcik motor ikan pagi tadi. Teringat pesan sang suami jangan suka mengumpat. Alamak! Terase bersalah, dan redi2 menulis surat mintak mahap, supaya bila suami pulang takdelah terase kekok dan tergagap2 mahu mintak mahap. Tulisnya, "Esah mintak mahap bang. Ampunkan Esah ye bang, Esah taubat!(1) Esah janji, lain kali Esah tak buat lagi..".

Sebelum suami sampai ke rumah juga, habis surat cinta suami Esah 7-8 tahun lepas dikorek keluar dari tempayan beras. Dibaca semula dalam samar-samar pelita ayam. Nak amik feel orang kate. Supaya bila suami pulang, maseh romantic seperti mula2 kawen. Sampai part2 manja, Esah senyum terkikih-kikih kesorangan, sampai part2 sedeh, Esah menangis, begitulah Esah. Sangat menghayati surat2 cintanya!(2)

Kadang-kadang Esah tak puas hati. Kate Esah, dia nak dengar orang bacakan(3) surat cinta tu untuknya. Kate Esah lagi, kalo dia baca sendiri, dia rase macam pitching lari. Jadi kadang2, Esah panggil adik perempuan kesayangan Esah tolong bacekan untuk Esah. Biasanya Esah bertenggek di tangga dapur bila adik Esah bacakan untuknya. Esah senyum panjang.. sampai telinga. Kadang-kadang Esah bergilir2 dengan adiknya membaca(4) surat cinta suaminya itu. Maklum-lah surat cinta suami Esah panjang2..




Surat cinta suami Esah penuh bermakna untuk Esah. Penuh nasehat. Kadang2 suami Esah tegur Esah melalui suratnya. Misalnya, suami Esah tahu Esah suka ber-gossip. Maka suami Esah pernah hantarkan surat tazkirah tentang balasan untuk orang mengumpat pada Esah. Kadang2, suami Esah juga suka puji sikap Esah suka senyum. Suami Esah kate, senyum itu sedekah. Esah terima dengan lapang dada semua teguran dan pujian suami Esah. Esah tahu, dalam banyak2 orang, suami Esah lah yang paling kenal Esah. Esah cuba berubah menjadi lebih baik(5).

Setelah berkali-kali membaca surat cinta suaminya, Esah bergegas mencapai parang atas para dapur. Anak tangga dapur yang cuma 2 papan Esah langkah senang. Berkokok ayam melarikan diri bila Esah terjun manja dari tangga dapurnya itu. Esah tahu suaminya suka makan buah salak. Esah ke belakang rumah, meninjau2 salak yang masak ranum yang ditanamnya. "Banyak salak ni..", kate Esah. Suami Esah juga tak suka membazir. Oleh kerana salak Esah berlebih-lebihan, Esah isi salak-salak tu dalam guni beras dan disandarkan pada tangga dapur. Nanti bila adik Esah melintas rumah Esah untuk ke masjid, Esah akan suruh adik-nya sedekahkan(6) pada orang masjid.

Bile bersedekah, Esah akan teringat duit simpanan Amanah Saham Bumiputra (ASB) nya sudah cukup setahun. Tak pernah terusik duit tu. Suami Esah tak bagi Esah sentuh duit-nya itu. Kate suami Esah, suami Esah masih mampu memberi nafkah pada Esah. Duit Esah, Esah simpanlah, untuk kegunaan pada masa depan. Kate suami Esah, malang tak berbau. Esah sedar, dia wajib memberi zakat. Esah meraba-raba mesin kira dalam laci meja di bilik bacaan suaminya. Mesin kira itu pun sekali setahun lah bersentuh. Nasib baik masih elok. Setelah didarabkan dengan 2.5% duit simpanan-nya itu, Esah memanggil Adli, adik lelakinya. Esah suruh Adli memberi sejumlah wang zakat(7) pada Pak Pa di kampung seberang. Keluarga Pak Pa keluarga miskin, tambah pula Pak Pa sekeluarga baru memeluk Islam tahun lepas. Sebelum ni nama Pak Pa, Jupha Sephet. Pak Pa orang Siam, berasal dari Chiang Mai. Berhijrah ke Malaysia. Esah suka dengan anak-anak Pak Pa, semuanya pandai2 belajar.

Masa berlalu begitu lambat bagi Esah. Suami Esah kate, kalo Esah tak mahu penat menunggu, Esah buatlah perkara2 yang baik dan mendatangkan faedah. Suami Esah tak kesah kalo Esah ajak jiran2 perempuannya datang ke rumah. Suami Esah juga suke kalo Esah anjurkan buka puasa sunat beramai2(8). Cuma suami Esah tak suka, kalo Esah rapat dengan Jenab. Jenab suka mengkhabarkan berita yang tidak perlu pasal orang lain pada Esah. Suami Esah suruh Esah nasehatkan Jenab supaya berubah. Kadang2 Esah bagitahu, tapi kadang2 Jenab melenting tak mahu cakap lagi dengan Esah. "Takpelah, lame2 nanti Jenab akan insaf, insyaALLAH," kate suami Esah bila Esah mengadu.


Begitu sekali Esah bersiap, menyambut kepulangan suaminya. Hamba pun bercita-cita nak bersiap macam tu lah. Kekasih hati hamba dah tak lama sangat dah nak kembali pada hamba. Oh ye, hamba lupa, hamba tak kenalkan lagi kekasih hamba kat tuan hamba sume, ye?
Hehehe



Nama-nya Ramadhan! Kekasih tuan hamba jugak kan?! Tuan hamba, bile lagi? *wink

Glossari (Maksud sebenar-benarnya yang hamba cuba sampaikan-via-number):

(1) bertaubat, dan tidak mengulangi perlakuan yang tidak sepatutnya sebagai persediaan menghadapi puasa yang sebenar-benarnya.

(2), (3) & (4) menghayati bacaan Al-Quran, dengan membaca, memahami maksud dan bertadarus

(5) refleksi diri menerusi Al-Quran. Sedarlah kesalahan atau pun perkara maksiat yang telah kita lakukan. Ambillah pengajaran dari Al-Quran. Laksanakanlah perintah yang ALLAH sampaikan melalui ayat-ayatnya.

(6) & (7) bersedekah dan menunaikan zakat

(8) berpuasa sunat dan iftar beramai-ramai

(entri di atas hamba karang bersandarkan isi-isi tazkirah drpd yang berbahagia Sheikh Rafat, Masjid Al-Huda, Dunedin New Zealand, bertajuk 'How to Prepare Oneself for Ramadhan' . JZKK.)


Allaahumma baariklanaa fi Sya’ban wa ballighnaa Ramadhan