Monday, September 27, 2010

Petua Kenang-Kenangan



Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Tuan hamba sidang pembaca yang dikasihi sekalian,



Pernah tak tuan hamba dengar petua-petua orang lama? Rasanya mungkin tuan hamba pernah dengar, tapi mungkin sudah terlupa. Atau mungkin juga tuan hamba tidak tahu langsung kewujudan petua-petua tersebut. Barangkali kerana telah hanyut dalam arus modenisasi.


Hamba dilahirkan dan dibesarkan di kampung. Sebuah kampung kecil di pinggir daerah Kota Bharu. Depan rumah hamba, selepas jalan raya bersaiz sehala tetapi berfungsi 2 hala, adalah dusun buah-buahan. Dan penyudah hujung dusun itu pula, mengalir tenang unjuran Sungai Kelantan yang luas dan kaya dengan buaya dan 'ghi-ye' berjemur - yang kami selalu salah anggap sebagai biawak. Tapi mereka baik, tidak pernah mengganggu kami. Sementelah kami juga tidak ghairah mencari pasal dengan mereka, alhamdulillah.

Betul-betul belakang rumah hamba, adalah tali air rekaan KADA, untuk aktiviti sawah padi yang letaknya betul2 di sebelah tali air itu. Waktu kecil2, tali air itulah kolam mandi kami. Waktu sekolah rendah, bila balik berjalan kaki ke rumah dari sekolah, tali air itulah tempat kami melepas lelah, hingga terlambat ke rumah tok guru mengaji.

Berkubang di situ, berendam di situ, bergelumang lumpur juga di situ. Betul2 belakang rumah hamba, ayahnda hamba sengaja membina pelantar kecik yang mengunjur sedikit ke tepi sungai. Kadang-kadang bila bekalan air kerajaan buat hal, maka di situ kami adik beradik berendam, di-iringi buih2 sabun basuh bila bonda membasuh kain di pelantaran yang sama. Kerana hamba tidak pandai berenang , maka di situ terdapat tali panjang untuk mengikat pelampung hamba :).

Bila gigi-gigi atas dan gigi-gigi bawah saling hentam menghentam tanda sejuk, maka abang hamba akan menarik tali pelampung hamba ke daratan, tanda mau pulang. Yang bestnya, hamba selalu dapat ke tempat yang paling dalam, setinggi dada ayahnda hamba, kerana hamba berpelampung, seronok waktu itu, sangat seronok! MasyaALLAH!

Bila masak padi, kuning rase pandangan mata. Bila sudah dituai, kelihatan belakang rumah seperti padang jarak padang tekukur, nun jauh merentas padang. Bila hijau, rase mau baring di hamparannya sambil melihat langit luas yang membiru. Dihiasi burung-burung 'cap rumah' yang pulang ke sarang berkelompok-kelompok, bersusun-susun. SubhanALLAH!

Di kiri kanan rumah hamba dulu, semua pokok tropika tumbuh subur. Ada betik, pisang, mangga, salak, cermai, rambutan, duku dan pokok wajib di kampung, iaitu kelapa.






Berbalik soal petua, sesuai suasana begitu lah resminya. Sengaja hamba biar tuan hamba bayangkan dulu kawasan kampung hamba, kerana dari itu, tuan hamba akan faham kenapa.





Kami dikelilingi keindahan alam semulajadi, yang kekadang bahaya. Bila diberi amaran panjang lebar dan alasan kenapa tak boleh itu dan ini, kami selalu nganga, sudahnya kami adik beradik terus menerus buat kerja bahaya. Memanjat pokok, terjun sungai, bebas mengutip durian jatuh di dusun dan sebagainya. Tapi bila diberi petua, yang kadang2 tidak masuk di-akal, kami patuh pula. Tapi akhirnya ayahnda selalu menjelaskan hikmah di balik petua demi petua.

Resmi orang kampung juga sangat halus pengaturan budi dan bahasa. Penuh tertib dan ber-metafora. Bukan hamba memuji diri, barangkali juga bukan hamba. Akan tetapi hamba berbicara untuk orang-orang kampung lainnya.

Di kampung, penduduk major adalah orang-orang tua. Ketika kecik2, kami adik beradik dipaksa mengingat nama setiap makcik dan pakcik di kampung itu. Perjalanan ke kedai runcit terase lama, kerana jika berselisih harus menegur dan bertukar berita. Kagumnya, makcik pakcik, atuk nenek di kampung jarang sekali ada yang nyanyuk. Nama kami yang kecik2 juga dihafal mereka. Bukan setakat nama, tapi anak siapa, cucu siapa, itu juga ter-rakam kemas di kepala mereka.

Sehingga sekarang, jika menelefon ke Malaysia, sudah menjadi tabiat hamba untuk berkirim salam pada jiran-jiran di kampung, dengan menyebut nama makcik demi makcik. Rindu keluarga, rindu semua..

Sudah menjadi adab di kampung juga, jika ade jiran datang bertamu, kadang2 sekadar bertukar gossip atau menghantar duit kutu, - biar nasi sejemput pun akan di'offer' juga. Selagi tetamu tak hilang haus, tak hilang lapar, biskut kering di dasar tin pun di cari juga. Yang sikit sama di-cecah, orang kampung kata..

Walhal untuk menyenduk nasi juga ada caranya. Pantang orang tua-tua menyenduk nasik di permukaan dan bahagian atas saje dalam periuk nasi. Meninggalkan nasi di bahagian tengah ke bawah periuk untuk orang lain. Kata bonda, sape yang makan nasi seperti itu, perangai-nya degil dan tak mendengar kata, mementingkan diri. Bila difikir-fikir semula, betul juga apa yang bonda kata.


Nasi yang di tengah periuk dan ke bawah kan kadang2 berkerak. Norma-nya tidak selembut dan secantik nasi di bahagian atas. Kerana kasih sayang pada ahli keluarga dan tetamu, maka elakkan lah menyenduk nasi di permukaan saja untuk diri sendiri, atau sebaiknya terus menekan senduk ke dasar setiap kali menyenduk nasi. Hasilnya semua mendapat nasi sama rata. Adil dan saksama. Sungguh ber-metafora, kan?

Barangkali tuan hamba rase hamba cerewet. Mungkin betul, hamba memang cerewet. Kolot. Mungkin juga hamba kolot, kenapa tidak? Kerana petua-petua itu mengajar kita hidup bertatasusila. Mementingkan saudara, menghormati tetamu. Biar hanya cara menyenduk nasi, kalo tidak bertentangan dengan syariat, kenapa tidak?


Tapi, iya-lah. Lain orang lain cara. Itu cara hamba. Cara orang kampung. Tuan hamba pula, bagaimana?

No comments:

Post a Comment